Monday, July 7, 2008
BELI TETAPI TAK BACA
Saya rasa semua kaki buku ada penyakit ini - beli, beli, beli dan tak baca!
Sewaktu hendak membeli, kita dirangsang oleh bermacam-macam andaian. Takut nanti buku tu habis. Takut lain kali tak ada duit. Takut itu, takut ini.
Dan kita pun beli. Kemudian, kerana sebab-sebab yang kita sendiri pun kadangkala tak faham, buku itu kita simpan...simpan dan simpan...dan simpan.
Saya pun tak tahu sebenarnya berapa banyak buku dalam simpanan yang masih belum dibaca. Yang nyata sangat banyak. Yang terpampang di sebelah ini adalah sebahagian daripadanya.
Sukar untuk ditentukan bilakah berpeluang membaca buku-buku ini sebuah demi sebuah. Dulu, selalu berkata pada diri sendiri, 'nanti bila ada masa lapang, aku baca la...'
Tetapi kian lama kian terasa bahawa masa lapang itu semakin tiada...
MAAFKAN SAYA...
Mohon maaf sebab banyak hari sungguh tak mengemaskini blog ini. Tak sedap badan satu hal, sibuk pun satu hal juga. Blog yang 'satu lagi' itu pun terpaksa up-date ala-kadarnya sahaja. Mujurlah boleh juga digunakan petikan-petikan berita sebagai 'feeder'nya. Kalau tidak, entahlah. Mungkin akan perlahan-lahan sepi, menjadi seperti rumah pusaka di tanah sekangkang, nun berdekatan kubur di hujung kampung. Mati sahaja penghuninya, mati jugalah selera anak cucu nak balik jenguk.
Baiklah, dipendekkan cerita, kali ni saya nak paparkan antara buku-buku yang saya ulang baca. Nelson Mandella punya Long Walk to Freedom tu dua kali, yang di sebelahnya dua kali dan yang dua lagi tu dekat-dekat nak jadi tiga kali.
Daripada keempat-empatnya, yang paling saya suka ialah Life and Death In Shanghai. Saya selamanya teruja dengan buku-buku yang ada kaitan dengan perjuangan dan revolusi.
Sunday, June 29, 2008
SET MAHAL PERTAMA...
Set ini sebenarnya agak cacat kerana salah satu jilid tiada lagi dalam simpanan; dan saya sedang berusaha memburu peminjamnya sekarang.
Tanpa menafikan, saya menimba banyak ilmu dan manfaat daripada Tafsir al-Azhar ini, perkara lain yang menarik ialah suntikan semangat yang saya perolehi selepas membaca pengantar oleh penyusunnya Buya Hamka. Kegigihannya menyusun tafsir ini banyak mempengaruhi sikap dan kesungguhan saya selepas itu. Dan itu antara sebabnya kenapa saya terus 'gila menulis' sehingga sekarang.
Saturday, June 28, 2008
DUNIA HIKMAT
Selamat pagi. Ini ada lagi satu emel yang abnormalsuam kirim untuk santapan kita semua. Macam selalu, dia juga bermurah hati mengirimkan imej, yang kali ini saiznya dah tak sebesar gunung lagi...
Ini adalah kitab Dunia Hikmat yang ditulis oleh Ali Dzulfakar yang merupakan pengarang bagi kitab-kitab seperti Seribu Hikmat, Menjadi Nujum, Garisan Azali, Ramalan Jala Tiga dan Majmu' Ayat Al Quran. Kitab ini mengandungi 256 Fasal yang antara lain termasuklah tentang lelaki, wanita, senjata, pertempuran, gerak langkah dan sebagainya. Berbeza dengan Senjata Hikmat mahupun sebuah lagi kitab karangan Tuk Janggut yang berjudul Pagar Hikmat, Dunia Hikmat tidak mengandungi jampi serapah atau mantera dalam bahasa Melayu sebaliknya kebanyakannya berbahasa Arab dan sebahagian besarnya dipetik daripada ayat al-Quran. Pun begitu, bagi mereka yang memiliki kitab ini suatu ketika dahulu, mereka telah menempuh jalan agama terlebih dahulu sekaligus berjaya mengenalpasti yang mana jalan yang benar dan yang mana jalan melencong. Bagi generasi sekarang yang sangat berminat dengan kitab-kitab seperti ini, mempelajarinya tidak salah tetapi perlulah berguru yang mursyid. Seelok-eloknya mereka yang mempelajari ilmu-ilmu hikmah ini, menempuhi dulu dunia Usuluddin dan Ushul Fiqh keranan banyak perkara yang diperkatakan di dalam kitab-kitab ini, seandainya dibaca sekali imbas boleh menyebabkan kegelinciran akidah. Pada email yang lain, aku akan cuba uploadkan kitab Senjata Hikmat karangan Tuk Janggut pulak yer...
Friday, June 27, 2008
MAN TOBA KEMBALI KE RAHMATULLAH
Sepanjang kariernya, Allahyarham menjadi antara nama yang sangat disegani dalam bidang fotografi, khususnya sepanjang dekad 1980-an dan 1990-an. Beliau bagaimana pun kemudiannya beralih ke dunia hiburan dengan menjadi orang penting di sebuah syarikat rakaman. Allahyarham juga merupakan salah seorang penulis lirik yang prolifik.
Kepada sahabat-sahabat yang mengenali beliau, walaupun sekadar nama, marilah kita sama-sama bermohon agar roh Allahyarham dicucuri rahmat. Al-Fatihah.
TAJUL MULUK YANG DIHARAMKAN
Setelah diselidik dan dikelebek, maka ditemui bahawa ada dua TAJUL MULUK yang diharamkan. Yang pertama adalah sebuah buku yang diterbitkan oleh CV.Aneka Solo yang berjudul IKHTISAR TAJUL MULUK (MAHKOTA RAJA) yang ditulis oleh ABD.HAMID ZAHWAN. Tarikh warta pengharaman buku ini adalah pada 26 April 2007.
Manakala TAJUL MULUK yang kedua menerima pengharaman pada 26 Oktober 2007 diterbitkan oleh Percetakan AlMuarif Sdn. Bhd yang ditulis oleh Tuan Husin Besut Ibn Al Marhum Tuan Ishak Fatani.
Tiada penjelasan diberikan berhubung pengharaman kedua-duanya...
Bagaimanapun dalam satu fatwa JAKIM: (dalam bentuk soal jawab)
Soalan: Adakah Kitab Tajul Muluk boleh dipelajari isi kandungannya?
Jawapan:
Kita boleh mempelajari Kitab Tajul Muluk, tetapi kita tidak boleh mempercayainya kerana ia boleh membawa kita kepada syirik kepada Allah S.W.T. Ini selaras dengan firman Allah S.W.T. dalam surah al -Maidah ayat 90 yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semuanya kotor ( keji) dari perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya semoga kamu berjaya".
Oleh itu saudara hendaklah mempelajari ilmu dari guru-guru yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama dan kitab-kitab yang muktabar supaya ilmu-ilmu tersebut memberi manfaat kepada diri saudara di dunia dan di akhirat..
http://baheis.islam.gov.my/web
5bf3fb7251836f9a482567f20004d10
Thursday, June 26, 2008
KITAB TAJUL MULUK
Emel yang sama panjang dengan padang bola ini saya terima daripada abnormalsuam. Menarik kandungannya, menarik juga apa yang diketengahkan.
abnormalsuam juga menghantar dua imej gambar yang berkaitan. Tetapi saya mampu muatkan satu saja. Tak kuasa la nak download sebab saiz failnya...mak oi, kalau diibaratkan perempuan, dah tentu termasuk kategori yang kalau duit syiling jauh ke lantai, dia payah nak tunduk ambik. (Jangan marah yang adik-adik dan kakak-kakak yang menjengah ke blog ni. Bergurau aje ni).
Okay, sekarang persilakan membaca emel kawan kita ni:
Antara kitab perubatan Melayu yang paling banyak diperkatakan sama ada menerusi karya-karya klasik seperti Hikayat Melayu dan Hikayat Hang Tuah mahupun di kalangan golongan yang memburu ilmu hikmah Melayu adalah Tajuk Muluk dan Kitab Thoiyibil Ihsaani fi Thibbil Insaan (Ilmu Perubatan). Berbanding Kitab Ilmu Perubatan, Tajul Muluk adalah lebih lama dan dikatakan menjadi ilmu kitab-kitab perubatan Melayu yang lain. Kitab ini mengandungi 134 sohifah atau bab yang merangkumi segala perkara, sama ada daripada gerak pada tubuh, mendirikan rumah, membuka tanah, mimpi, perubatan lelaki, peredaran air mani wanita, mengalahkan musuh dan sebagainya. Kitab ini sebenarnya dikatakan diadaptasi daripada sebuah kitab lain yang berasal dari Parsi dan telah di'Islam'kan dengan kemasukan elemen-elemen Islam. Kitab ini ditulis (semula) pada zaman sultan Acheh yang bernama Sultan Mansur Billah Shah ibni Al-Sultan Jauhar Al-Alam Shah. Pada bahagian akhir kitab tersebut, dinyatakan bahawa kitab ini telah selesai diterjemahkan oleh Faqir Tuan Haji Wan Hassan ibn Sheikh Tuan Ishak Fatani pada hari Jumaat pada waktu Dhuha enam likur haribulan Muharram pada hijrah Nabi seribu dua ratus empat puluh sembilan di dalam negeri Makkah. Mungkin kebanyakan generasi sekarang, sukar untuk membaca kitab ini walaupun ianya banyak terjual memandangkan bahasa yang digunakan merupakan bahasa Melayu lama bercampur Arab. Malah istilah-istilah yang digunakan adakalanya mendangkalkan fikiran kita, seperti kamkuha dan sebagainya. Malahan ejaan untuk ayam pula apabila dibaca berbunyi hayam, sekaligus menunjukkan pengaruh dialek banjar di dalamnya. Satu lagi kitab perubatan yang terkenal adalah Kitab Thoiyibil Ihsaani fi Thibbil Insaan (Ilmu Perubatan). Kitab ini ditulis oleh Wan Ahmad bin Muhammad Zin bin Mustaffa Al-Fatani dan selesai penulisannya pada bulan Safar tahun 1333 Hijrah. Kitab ini lebih mudah bahasanya tetapi lebih nipis dengan 43 sohifah atau bab sahaja. Bagaimanapun, kitab ini sama seperti tajuknya, lebih banyak menjurus kepada perubatan seperti 'Pada fasal yang pertama; pada barang yang jadi penyakit daripadanya dan barang yang bergantung dengan demikian itu... Suatu ketika dahulu, barangsiapa yang berhajat sangat nak jadi doktor tradisional (bomoh la tuh), penguasaan Tajul Muluk - sama ada dibaca atau dihafal - memang perlu. Malah, dikatakan juga, sesiapa yang menyimpan kitab ini dan dijadikan rujukan, seringkali mendapat penghormatan di kalangan penduduk kampung. Sebenarnya ada lain-lain kitab perubatan yang lebih ekstrem yang bercampur aduk antara agama (ilmu hakikat) dengan perubatan, malah termasuk juga di dalamnya jampi serapah mahupun hizib dan sebagainya seperti Kitab Pati Rahsia yang dikaitkan penulisannya dengan Paduka Perdana Menteri Kelantan, Nik Mahmud dan sebagainya... Sayangnya, kitab-kitab ini semakin lenyap dan tidak lagi mendapat perhatian, mahupun kajian daripada pihak yang sepatutnya. Mungkin memandangkan ia datang dari zaman silam, bermakna ia adalah kuno dan ketinggalan. Barangkali kesilapan kita ialah memandang mudah akan kecendekiawan orang Melayu sendiri yang sudah pun menemui penawar demam malaria atau demam kura dengan penggunaan pati kulit batang pokok kuinin sebelum 'orang putih' mempatenkannya sebagai penemuan barat awal abad ke-20. Malah ketiadaan bomoh-bomoh yang benar-benar menjalankan peranan sebagai doktor tradisional yang bukan bermodalkan air liur, hembus-hembus, pembohong-pembohong dan temberang-temberang, serta asap kemenyan yang sekadar melengkapkan upacara perubatan, membuatkan kitab-kitab ini terbiar begitu sahaja. Berbeza dengan masyarakat Cina yang berjaya menaiktarafkan bidang perubatan sensei mereka untuk digandingkan dengan perubatan moden, orang Melayu bagaikan kehilangan dalam keseronokan mereka mendabik dada bahawa Melayu sudah bertamadun...