
Saya bukanlah penggemar novel. Banyak kawan rakan tak berapa percaya dengan kenyataan ini. Tetapi itulah hakikatnya. Novel terakhir yang saya baca ialah Hujan Pagi, karya SN Datuk A. Samad Said. Itu pun lama dahulu.
Tetapi jangan tersilap. Itu sekarang. Pada masa yang lain, lama dahulu, saya pernah menggilai novel macam orang lain. Saya habiskan
Biru Warna karya Awang Had Salleh semasa masih di sekolah rendah. Dalam darjah tiga atau empat. Menyusul selepas itu ialah
Interlok karya Abdullah Hussein (dan itu yang menjadi punca 'pengikat' saya pada tulisan-tulisan Pak Lah).
Sukar dinafikan bahawa minat kita berubah mengikut zaman. Saya bermula semasa berumur sekitar enam tahun, dengan komik, dan majalah hiburan (Saya tak ingat judulnya, tetapi di dalamnya ada lirik lagu 'Salam Mesra' nyanyi A. Halim. Itulah lirik pertama yang saya hafal. Lagu itu juga selalu saya nyanyikan di depan kelas bila disuruh oleh guru).
Tanpa meninggalkan komik dan majalah hiburan, saya bergerak pada buku-buku cerita. Paling berkesan dalam diri saya sampai sekarang ialah buku '
Aku Di Sebuah Pulau' terbitan DBP (cetakan pertama 1957 dan diulang cetak pada 1963, 1965, 1971 dan 1973). Ia sebenarnya merupakan antolongi cerita pendek untuk kanak-kanak. 'Aku Di Sebuah Pulau' adalah tajuk salah sebuah daripada ceritanya dan ia ditulis oleh Md Sariff Fakeh.
Kali pertama membacanya, saya pinjam daripada perpustakaan. Waktu itu masih di sekolah rendah. Judul buku itu mengekori saya selama bertahun-tahun dan kira-kira 20 tahun lalu, saya berjaya membeli 'semula' edisi kedua naskah itu (cetakan 1985).
Ego budak-budak mendorong saya mendekati novel pada usia yang masih sangat muda. Bukan apa, asalnya nak tunjuk eksyen pada kawan-kawan yang kita mampu baca buku tebal-tebal. Ia kemudian berjangkit dan meleret menjadi ketagih.
Mungkin pendedahan yang terlalu awal itulah menyebabkan minat terhadap novel juga menjadi cepat pudar. Saya perlahan-lahan beralih pada bacaan-bacaan yang lebih serius, dan saya kira ini proses biasa yang dilalui oleh kebanyakan orang.
Sekarang ini saya tak tahu buku apa yang paling saya minati. Seperti kata
abnormalsuam dalam blognya, saya juga membaca segala jenis buku. Tetapi yang sering menyebabkan saya jarang tidur malam ialah buku-buku yang ada unsur keagamaan, sejarah, politik dan budaya.
Satu lagi, saya juga banyak membaca buku-buku 'self improvement'. Punya banyak membacanya sehingga tak ada masa nak improvekan diri sendiri...