Thursday, June 19, 2008

NAIK HARGA LAGI!

Harga buku akan naik lagi. Mesti naik. Gerenti. Kertas dah tentu naik. Kos operasi kilang cetak dan produksi penerbitan akan naik sebab tarif eletrik naik. Kos pengangkutan akan naik. Campur tolak, kita boleh menjangkakan bahawa harga buku akan turut melompat antara 20-30 peratus. Itu pun dah kira jangkaan konservatif.

Dalam keadaan buku sederhana mahal pun orang tak berapa nak beli, apatah lagi apabila ia menjadi mahal. Kena pula yang di sekeliling; dari beras sampai ke teh tarik semuanya dah turut jadi mahal. Kalau perut terpaksa dijerut, apatah lagi yang lain-lain.

Apa yang berlaku ini secara langsung menjadi kekangan terhadap budaya membaca orang kita. Sekaligus, ia juga mengekang perkembangan industri buku, yang selamanya memang 'hidup macam bagus, mati macam tak nak'....

5 comments:

AbnormalSuam said...

Sedar atau tidak, kita semakin mengundur. Walaupun teknologi semakin maju, namun teknologi itu jugalah yang semakin menghakis ketamadunan manusia.

Suatu waktu dahulu, buku dianggap sebagai barangan mewah. Tidak boleh dibawa ke sana ke mari. Buku hanya boleh dihasilkan dengan perintah raja. Disimpan oleh raja atau golongan bangsawan. Penghasilannya terhad kerana buku yang ada hanyalah scroll..

Buku Dunia Melayu mengikut jejak Dunia Cina dan Dunia India yang menghasilkan buku daripada sumber alam (Cina dengan buluhnya, Melayu dengan daun lontarnya)yang dibuat berangkai dan boleh dilipat-lipat, tetapi ia juga kekal menjadi hak mutlak golongan bangsawan dan orang tertentu sahaja.

Pembiayaan menyediakan sebuah buku adalah tinggi dan buku yang terhasil itu kekal bersendirian kerana ketiadaan teknologi photostat atau pun cetak semula.

Satu daripada golongan marhaein hanya menjadi penghafal dan kemudian menyampaikannya kepada rakyat marhaein yang rata-rata buta huruf. Buku seolah-olah menjadi taboo kepada masyarakat.

Sekarang, buku begitu banyak di pasaran. Namun pembelian buku tetap kalut dengan kenaikan harga dari pelbagai sektor dan bidang. Dan buku terpaksa bersaing dengan segala keperluan lain, sama ada keperluan asas mahupun keperluan sampingan.

Kenaikan harga buku tidak pernah menjadi kesenangan kepada penerbit mahupun penulisnya. Sebaliknya kenaikan itu hanya menjadi kesenangan kepada pemonopoli kertas (di Malaysia, hanya empat syarikat yang dibenarkan mengimport kertas) dan pengedar yang kadang-kadang tidak tahu pun buku apa yang mereka jual sebaliknya sekadar menahan tajur di premis-premis menjual bahan bacaan.

Malahan, kenaikan harga buku tidak pernah memberikan ganjaran yang lebih kepada si penulisnya. Si penulis dianggap bahan picisan dalam industri ini. Memang gah pada nama, memang tersohor pada karya, sedang hasilnya tidak seberapa.

Maka tidaklah sukar untuk kita melihat penulis bertukar menjadi mesin production yang terpaksa menghasilkan lebih banyak buku yang belum tentu dapat dijual semata-mata untuk memenuhi kelangsungan hidupnya. Maka beruntunglah mereka yang menulis hanya sebagai pendapatan sampingan atau pun hobi semata-mata...

Anonymous said...

Yaaaa........Saya sangat bersetuju + sambil angkat tangan dengan pendapat abnormalsuam. Buku hanya untuk golongan mewah dan kaya sahaja, masa kecik-kecik dulu kena tunggu ada pesta buku baru boleh beli buku banyak sikit. .

Saya pentingkan buku pada anak-anak dan alhamdulilah anak-anak pun turun jadi ulat buku macam saya. Walaupun tak kaya saya beli jugak buku set GROLIER dan bayar secara ansuran bulanan selama 2 tahun sebab anak-anak minta, pasai depa dok pi tengok buku tu di rumah jiran sebelah rumah. So mau tak mau belilah......lagi pun buku tak rugi.

Lepas ni nak kumpul duit dan beli buku karya tempatan dari Edusystem pulak.

afandi said...

sdr. semua, ni pandangan berhubung cukai kertas semasa pengimportan.
kalau bab kertas, tentulah diimport dari luar negara, duti/cukai yang terlibat/dikenakan akan mempengaruhi harga kertas di pasaran.., pengimport membayar duti import (import duty) dan menjual kepada pembekal, jika terdapat Cukai JUalan (Sales Tax) maka apabila dijual dari pengimport kepada pembekal akan melibatkan cukai JUalan.

Bagaimanapun kertas yang diperjeniskan di bawah Tariff 480254, di bawah Perintah Duti Kastam ,berat kurang dari 40gm/m2 dan digunakan untuk cetakan, tidak berduti import. Kalau dipotong mengikut saiz, ketika diimport, terdapat kira-kira 20% duti import dikenakan.Kalau dalam gulung ok. Import dari China melibatkan pengecualian.

Entah pasai apa harga kertas mahal,agaknya pokok untuk palpa dah kurang dibumi ini...

Rujuk:http://tariff.customs.gov.my/

lamadah tak buka, saja belek2

jeanbara said...

Afandi,
Terima kasih atas maklumat yang sungguh berguna. Mungkin ada benarnya harga kertas di dunia dipengaruhi oleh sumbernya. Tak banyak yang boleh kita buat selain daripada merungut.

Kami dalam industri penerbitan memang dah jadi 'bodoh' dengan keadaan ini. Terperangkap. Niat di hati nak marakkan budaya membaca; nak terbit banyak-banyak, nak jual murah-murah. Tetapi banyak sangat tetapinya...

Lebih buruk lagi, seperti yang abnormalsuam sebut, yang kaya, yang senang bukanlah penulis atau penerbit. Di situ pun kami tersepit. Di hujung sini ada pencetak, di hujung sana ada pengedar. Dominasi mereka di pasaran sungguh menggerunkan.

Apa pun saya tak pernah berputus asa. Selagi boleh saya akan mencuba mencari penawar kepada segala kebejatan dan kekalutan ini. Dan rasa-rasanya macam dah nak jumpa...

Tolong doakan...

Anonymous said...

Memang harga kertas dan buku agak mahal dan sangat dihargai dan ada yang sanggup guna kertas kitar semula untuk cetak buku akhbar dan tisu tandas.

Mungkin satu cara untuk mengelakkan membaca buku secara fizikal ialah dengan menggantikannya dengan buku secara online. Ini telah diusahakan di alam maya ini cuma keberkesanan dan audiennya yang masih lagi kurang.

Namun begitu saya menggalakkan jika ada pembaca/penyimpan buku yang telah tamat/khatam membaca dan ingin menjual secara 2nd hand buku mereka. Cuma takut ada yang sayang dan tak mahu dijual.

Membaca tetap membaca cuma kuantitinya semakin berkurangan tetapi ditambah membaca secara maya pula.

Sabran