Tuesday, June 17, 2008

SEDIKIT PASAL HANTU...

Bila belek-belek buku yang dok ada dalam simpanan ni, saya terperasan satu perkara; saya tak banyak simpan buku-buku misteri, terutama yang berkaitan dengan hantu. Nak banyak macam mana sebab jarang beli. Ingat, jarang beli, bukan tak pernah beli.

Kalau ada pun kebanyakannya buku penyiasatan kanak-kanak yang berunsur misteri macam buku-buku Nancy Drew. Selain itu cuma buku-buku tentang Segitiga Bermuda, Piramid, Aztec dan benda-benda yang macam tu. Kalau thriller dan sci-fi memang banyak. Yang satu tu, kalau tak salah saya abnormalsuam yang punya.

Terus terang, walaupun saya suka pada benda-benda yang bersifat misteri dan mistik, tetapi ia bukanlah hal hantu hisap darah, hantu tunggu huma, hantu cabut kepala dan sebagainya. Itu antara sebab kenapa ada karya-karya saya tentang hantu dalam GG, merapu semacam. Saya memang melihat hantu sebagai 'benda' lawak dan layak dibuli, sekurang-kurangnya dalam cerita saya.

Saya tak nafikan makhluk-makhluk halus itu ada, tetapi saya tak nampak sebab kenapa mereka perlu dipedulikan sangat. Saya tak kata saya berani, namun jarang la pula merasa takut. Saya lebih bimbang dengan manusia berbanding dengan 'makhluk tak jejak tanah' tu.

Sahabat-sahabat pula bagaimana?

13 comments:

AbnormalSuam said...

hehehehe...

Aku masih ingat, minat terhadap cerita-cerita hantu dalam diri aku sebenarnya bermula dari zaman 70-an iaitu pada zaman kemuncaknya komik-komik Melayu. Aku cukup berminat dengan komik-komik yang dikarang oleh seorang pelukis dari Singapura... yang kalau tak salah bernama Mohd Zain (maaflah kalau salah lagi)...

Antara cerita-ceritanya yang paling aku minat adalah 'Hantu Katak' - hantu rimba yang sering membunuh penebang-penebang balak. Satu lagi kisah seorang perempuan yang mempunyai susuk badan yang sangat cantik dan mempunyai daya tarikan seksual yang sangat kuat. Pun begitu, perempuan ini berwajah sangat buruk. Wanita itu biasanya ditemui berkeliaran dan lelaki yang mengambilnya pulang serta menumpangkan wanita itu di rumah mereka, pasti akan berhadapan dengan suasana menakutkan kerana wanita itu memakan tali perut ayam secara hidup-hidup. Di akhir cerita, perempuan itu membawa bencana dan hampir dibunuh oleh lelaki yang menumpangkannya. Bagaimanapun lelaki itu kemudian dibunuh oleh seorang lelaki lain dan putaran cerita pun bermula kembali. (Dua orang ilustrator di FANTASI telah mengadaptasi cerita ini dan mengubahsuainya)

Satu lagi kisah daripada pelukis yang sama ialah tentang tangan kera kering sakti yang boleh menunaikan tiga permintaan. Dalam cerita itu, anak si penemu tangan kera sakti itu telah meminta wang satu juta ringgit daripada penunggu tangan kering itu. Pada hari yang sama, anak perempuan kesayangannya mati akibat kemalangan jalan raya dan si penemu telah mendapat satu juta ringgit daripada insuran anak perempuannya. Bagaimanapun, pada tengah malam, anak perempuannya yang sudah mati pulang dari kubur dan mengganggu mereka. Permintaan ketiga dibuat iaitu anak perempuannya dikembalikan semula ke kubur. Tangan kera kering itu dibaling dan ditemui oleh seorang pemuda... Cerita yang berkonsepkan kitaran semula.

Lepas tu, bermulalah babak tahun 80-an apabila Siri Bercakap Dengan JIn disiarkan oleh Variasari dan aku adalah pembeli tetap majalah itu (bahkan pernah menang hadiah teka silangkatanya yang bernilai RM25). Apabila koleksi SBDJ edisi pertama dibuat, aku beli kesemuanya. Kemudian Siri Berkelahi Dengan Syaitan dan sebagainya.

Namun novel melayu seram/thriller yang paling menarik perhatian aku adalah Rahsia Di Sebalik Wajah, karya Malungun atau Haji Amir Hamzah Samsuddin. Bahkan aku turut menyimpan karya-karya Adi Alhadi yang aku kutip dari majalah FANTASI ketika Mulyadi Mahmood menjadi editornya.

Ramai penulis-penulis novel seram yang menjadi kawan-kawan aku, termasuklah arwah Pak Haron Mat Dom (Sebuah Banglo Di Atas Bukit - terbitan Raz Studio yagn juga merupakan terbitan terakhir syarikat yang pernah menerbitkan majalah Bujal dan Salina itu), arwah Tobeng (yang guna pelbagai nama), arwah Azim Chan, arwah Robert Hamly... (kebanyakan penulis novel hantu era 90-an sudah pun meninggal dunia)...

Misteri Permata Biru, karya Mishar atau Mior Shariman Hassan juga menarik. Begitu juga dengan karyanya ILUSI... dan Adi Alhadi turut mempunyai karya-karya hantu/misterinya yang tersendiri.

Pehhhhhh... aku boleh cerita panjang lebar kalau bab novel-novel hantu....

Novel Inggeris pertama yang aku beli yang berkisar tentang cerita hantu adalah Semetary Pet dan disusuli dengan Christine karya Stephen King. Aku turut membuat koleksi karya-karya Christopher Pike dan R.L.Stine...

Hehehehe... tu belum lagi cerita tentang UFO, Paranormal, Crytozoology (kebanyakannya disebabkan pengaruh Adi Alhadi dan FANTASI)...

AbnormalSuam said...

hehehe... silap ler pulak... Pet Semetary ler...

afandi said...

wah-wah banyak pengalaman

Nancy Drew tu juga ada siri TV tahun 1970an.

Banyak2 karya, rasanya pasal tak sebut HPK (Hantu Pulau Kambing) oleh Adi AlHadi..

Majalah Bujal tu masih simpan ka, lepas Bambino keluar Bujal dah kurang sambutan. FANTASI best lukisannya

AbnormalSuam said...

Hantu Pulau Kambing terbitan Edusystem atau Hantu Pensyarah terbitan Penerbitan Bahtera adalah novel kanak-kanak. Crita-cerita bersirinya dalam FANTASI lebih bersifat dewasa... bahkan novel-novel nipis seramnya yang diterbitkan oleh Creative Enterprise juga sudah terkeluar dari lingkungan penulisan kanak-kanak.

Begitu juga dengan Ahadiat Akashah yang cuba keluar dari lingkungan novel-novel remaja cintanya dengan OTAK, yang mengisahkan tentang enigma seorang pesakit barah otak.

Maafkan aku, aku tak ada simpanan lagi sama ada Bujal, Bambino mahupun FANTASI dan Gila-Gila selepas berpindah rumah beberapa kali dan sesetengahnya musnah dalam banjir... sayang, aku tak dapat menyelamatkan sebahagian besar daripada koleksi aku ketika tinggal di Alor Setar apabila rumah yang aku sewa dilanda banjir.

Cuma satu sahaja, orang yang aku perkatakan itu jugalah yang memperkenalkan tabloid News of The World yang dipenuhi cerita-cerita karut tetapi menghiburkan kepada aku yang membuatkan aku menjadi pelanggan setia selama hampir lima tahun sebelum aku sukar menemui tabloid itu lagi dan kalau ada pun harganya sudah mencecah RM14.80...

AbnormalSuam said...

Ingat lagi 'TOYOL HAJI DAWAM' yang disiarkan di Berita Harian (MINGGUAN?) cerita dan lukisan oleh Raja Hamzah? Betapa berpengaruhnya Toyol Haji Dawam sehingga kemudian muncul pula Anak Toyol Haji Dawam.

Aku dulu gunting dan simpan dalam buku tulis sebelum arwah tok bakar bersama-sama timbunan komik aku yang lain kerana kesilapan yang aku buat sendiri... ahaaaahahaaa

Anonymous said...

Cerita Toyol Haji Dawan tu betul betul menarik dan boleh kata kebanyakan ruangan komik dalam Berita Minggu bagus dan seronok membacanya. Tak hairanlah dirumah kami masa berebut adik beradik tunggu bapak habis baca akhbar. Ikut turn maklumlah ramai adik beradik.

Kemudian orang kampung dok cerita orang potong kepala nak buat jambatan menyebabkan ramai termasuk aku kecut nak keluar takut kena potong kepala. Ni pengaruh cerita hantu la.

Saudara Jeanbara...siapa si Long pengarang cerita hantu dalam Gila Gila tu?.

Sabran

Anonymous said...

Saya memang banyak menggunakan 'based' hantu dalam cerita kanak-kanak saya. Tetapi kecuali Hantu Menara Hantu, yang lainnya bukan hantu pun. Macam kebanyakan cerita misteri kanak-kanak lain, ideanya agak klise; ada hantu, siasat dan bukan hantu.
Hantu Menara Hantu agak berbeza sebab saya cuba menyampaikan mesej bahawa tempat yang terbiar, tidak terjaga dan tidak dipedulikan akan menjadi tempat bersarang makhluk-makhluk jahat. Begitu kalau tak silap (maaf, saya menyimpan banyak buku orang lain, tetapi ada terlalu sedikit buku sendiri).

Mengenai Fantasi, saya memulakan konsepnya dengan 'berfikir melepasi realiti'. Tetapi seboleh mungkin saya berusaha mempertahankan supaya ia tidak menjadi majalah misteri murahan. Apabila Rudi Mahmood menulis tentang pengaruh bulan mengambang terhadap orang gila, saya dan dia sama-sama cuba mencari logiknya daripada sudut sains/geografi; tentang peranan graviti, tekanan darah dsb.

Apabila muncul cerita hantu kepala anjing di Sg Delek, saya menghantar anak-anak buah dengan arahan wajib supaya memeriksa betul-betul tempat hantu itu dikatakan muncul, periksa kesan tapak kaki, kesan cakaran pada batang pisang dan sebagainya. Sebabnya? Saya tak yakin hantu itu wujud dan kalau percaya pun, saya mahu melihat 'kesahihannya'. Tidak lama kemudian; rahsia hantu kepala anjing itu terbongkar; rupanya manusia biasa yang mencari dan mencuri kesempatan.

Ada skrip-skrip komik saya dalam Fantasi yang kelihatannya seperti cerita hantu. Tetapi kebiasaan saya, dalam menulis apa pun, saya mengutamakan soal 'between the lines'.

Sampai sekarang saya masih cenderung pada perkara-perkara yang mencabar kuasa minda. Tetapi saya sama sekali tidak tertarik dengan 'kubur berasap', 'hantu kopek', 'kepala merayau2'...Kalau pun berminat, saya lebih ingin tahu bagaimana dia merayau, dari mana dia datang, kenapa dia merayau, kalau dibeginikan dia jadi apa dan dibegitukan dia jadi apa.(Polong itu kalau dilastik, bagaimana? Pocong itu kalau dicurahkan gam di laluannya, macam mana?

Sungguh, saya tak peduli dia mengusik orang macam mana. Untuk saya, it's not a big deal.

Saya antara orang yang banyak berpindah rumah. Dari rumah kecik, ke rumah besar. Dari tanpa bilik ke lima enam bilik. Nomad. Hanya 10 tahun lalu baru saya membuat keputusan untuk menetap dalam erti kata sebenar. Ada kawan-kawan yang datang ke rumah baru saya mendakwa mereka melihat itu dan ternampak ini. Tetapi alhamdulillah, saya sekeluarga tidak pernah pun melihat atau menemui apa-apa. Kalau betul ternampak pun, insya Allah, dia tak penting untuk saya. Ada satu yang saya yakini; manusia adalah makhluk paling sempurna.

Kalau ada sahabat-sahabat yang mengalami perasaan takut tak menentu begitu; petua saya cuma satu...hadapilah! Kata orang, buatlah perkara yang anda takuti, nescaya anda akan bahagia.

Dulu, saya sering juga berkereta sendirian dari KL balik ke Kedah. Waktu itu highway masih sekerat-sekerat. Masuk highway, keluar jalan biasa, masuk balik, keluar balik. Bosan. Kereta pula seringkali sangat banyak. Sesak. Jadi saya kerapa memilih untuk balik melalui jalan Kuala Selangor-Teluk Intan-Setiawan-Manong dan seterusnya ke Kuala Kangsar. Bukan sekali dua bersendirian di jalan itu seorang diri. Kadang-kadang, sebagai manusia, datang rasa takutnya. Terasa macam ada orang menumpang di belakang. Dan itulah waktunya saya akan buat apa yang patut dibuat; pusing tengok!

Cubalah. Lakukan selalu dan tengok hasilnya.


*Nota; ada kawan, wartawan cerita-cerita misteri nombor wahid, dulu pernah bertugas di akhbar Bacaria, penakutnya tak boleh dibayangkan dengan kata-kata. Sampai sekarang, umur dah lebih tua daripada Tugu Kebangsaan, tahap penakutnya masih sama.

*Nota 2:
Sekarang ini pun saya bersendirian di rumah atas saya. Minta-minta jangan ada hantu terjun dari siling dan duduk atas laptop saya sudahlah...he3x


Adi Alhadi

Anonymous said...

Mohon izin, nak tambah sikit...

Sehingga sekarang saya sebenarnya ingin benar melihat munculnya majalah/buku yang membongkar pembohongan di sebalik kebanyakan cerita misteri karut-marut yang berleluasa di luar sana; kalau ada yang betul, cari kesahihannya sehingga ia benar-benar betul.

Kalau ada sahabat-sahabat yang ingin menerbitkan bahan bacaan seperti itu, sila maklumkan. Saya nak bagi idea, pendapat dan pandangan secara PERCUMA. Tetapi sementara majalah nak laku la. Kalau dah laku, kena letak harga. He3x...

Adi Alhadi

*Abnormalsuam: pelukis Mohd Zain yang saudara maksudkan itu nama pena dalam karyanya ialah S.Zain.

Shamsul Nizam (SAM) said...

Salam hormat...

Saya tidak banyak koleksi buku-buku cerita hantu malah boleh dikatakan tiada langsung sebab tidak mahu anak-anak dibelenggu dengan ketakutan sekalipun sedar akan kewujudan makhluk halus tu.

Kalau buku mengenai konspirasi, penyiasatan dan yang sama waktu ada ler jugak di dalam koleksi. Paling minat buku tulisan Agatha Cristie (betui tak spelling tu).

Ianya dapat membuka minda melatih otak berfikir secara kritikal.

Tapi paling mendapat layanan business class adalah buku The Art of War, hadiah dari ex-boss.

-SANG TUBA-

jeanbara said...

Sabran,
Long itu nama sebenarnya Jaafar bin Dagang, orang Melaka. Dia antara kumpulan pelukis/kartunis awal di CESB.
Saya telah lama tidak berhubung dengannya, namun difahamkan dia masih giat berkarya, khususnya dalam ilustrasi buku kanak-kanak.

Anonymous said...

Saudara Jeanbara

Terimakasih atas maklumat mengenai Long. Saya sebenarnya meminati karya beliau hantu beliau dalam Gila Gila ditambah dengan Long yang memang tinggi.

Harap-harap adalah karyawan karyawan seperti Long atau Jaafar Taib membuat blog sendiri supaya dapat berkongsi ilmu dengan masyarakat semua.

Terimkasih sekali lagi atas maklumat.

Sabran

afandi said...

abnormalsuam, Jeanbara

nampaknya blog ini dapat mengimbau kembali nostalgia hidupan masa lampau, ketika kita membesar..TAHNIAH

CERITA TOYOL HAJI DAWAM memang pengaruh cukup kuat, part yg tak boleh lupa sehingga la ni adalah bila Hj. dawam bagi kakinya dihisap oleh Toyol sebagai upah....masih terpahat dalam ingatan

Anonymous said...

Apa pun buku yang kita baca psai hantu atau seram plus misteri takkan sama sehinggalah kita mengalaminya sendiri....walaupun sebenarnya kita pun tak mau, tapi bila dah mengalaminya ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditangani. So, harap-harap kalau Jeanbara sudi bolehlah rungkaikan misteri yang saya alami.