Tuesday, June 17, 2008

PENGARUH BAHAN BACAAN

Sejauh mana apa yang dibaca mempengaruhi sahabat-sahabat semua? Boleh kita kongsi-kongsi pengalaman dan perasaannya?

Saya masih ingat, waktu budak-budak saya acapkali teringin hendak berpakaian kemas macam Ali, Tong Seng dan Ramasamy -watak-watak dalam Buku Bacaan Dewan (kalau tak salah) yang menjadi teks di sekolah rendah ketika itu. Seronok rasanya menjadi mereka. Berbaju kemas, dan sentiasa berkasut yang lengkap dengan sarung kakinya. Naik pokok pun pakai kasut!

Dan saya budak kampung, yang sana-sini di kepung oleh sawah dan kebun getah. Jalan masuk ke kampung ketika itu hanya 'berturap' tanah asli, belum pun ada tanah merah, apa lagi mini tar macam sekarang. Kalau hujan, becaknya melekat dan melekit. Kalau kemarau, debunya mengejar angin.

Ketika itu, kebanyakan budak-budak kampung berkaki ayam. Kasut hanya dipakai untuk ke sekolah. Saya bernasib baik kerana merasa juga berselipar. Tetapi selalunya selipar itu bukan dipakai sangat. Dipegang; lebih-lebih lagi kalau musim hujan.

Jadi bayangkan macam manalah saya berkasut dan bersarung kaki sepanjang masa; termasuk untuk naik pokok? Selain daripada kasut sekolah, saya hanya berpeluang merasa kasut baru ketika Aidilfitri. Dan selepas raya, kasut itu biasanya disimpan elok-elok; sampai rosak atau ketat dengan sendirinya!

Satu lagi; semasa darjah tiga atau empat, saya pernah mencuri pelita ayan arwah nenek (tok) dan menggosok-gosoknya dengan satu harapan; akan keluar jin Aladin! Pengaruhnya datang daripada buku 'Pengemis dan Putera Raja', kisah seorang budak (Ali, kalau tak silap) di kota Baghdad yang mencari-cari keajaiban Aladdin. Kerana dia menggosok lampu untuk 'mencari' jin itu kalau-kalau ada, saya pun melakukannya juga.

Mujurlah tak ada, kalau tidak jangan harap saya akan ber'blog' macam sekarang...

8 comments:

Azmi Ahmad said...

Sdra JBara...
Memang nostalgia bila mengingati watak Ali, Tong Seng dan Ramasamy dalam buku Bacaan Dewan tu. Watak murid pompuan pula ialah Salmah..

jeanbara said...

Ya, Salmah. Kumari...Tong Seng itu, kalau tak silap saya ada adiknya, tetapi tak ingat nama.

Saya melihat, buku-buku teks bacaan sekarang kurang memberi peranan pada pembentukan dan keseragaman watak. Tidak ada karektor yang boleh diingat. Bercelaru sedikit.

Mungkinkah kerana itu kita juga akhirnya melahirkan generasi yang semakin celaru?

Ini cuma pandangan dan tanda tanya peribadi saya...

tok dam said...

cerita jeanbara tentang kampung dia ni memang dekat di hati..tiap2 hari kena lalu kot sini bila pi sekolah..ada ketika jalan kaki saja, dan ada musim bergerek, naik moto,lori dan ada jugak pernah naik bas biaq pun duduk jauh dalam kampung..

buku teks bahasa melayu masa darjah dua yg paling teringat iatu tentang Pak Cik Kordi yg selalu berbasikal dan berbaju kekuning-kuningan! perangai dia kebudak-budakan..hish!tak berani naik gerek pakai baju kuning..takut orang gelaq pak cik kordi..

Anonymous said...

Saya yang paling teruja baca buku Hikayat Seribu Satu Malam. Rasa cerita tu macam real dan keinginan untuk ke tempat dalam cerita tu membuak buak.

Kemudian ditambah membaca buku penyiasatan 3 sekawan dan Hardy Boys rasa minat pulak nak jadi penyiasat.

Saya agak beruntung sebab tinggal di bandar kecil jadi sekolah di pinggir bandar. Teringat lagi hari kedua sekolah darjah satu nak pergi sekolah sesat sampai atas satu bukit. Masa tu nangis sakan takut.

Kemudian belajar Bahasa Inggeris mak oii garangnya cikgu Benggali tu. Silap sikit penampar.

Apapun betul la bahan bacaan banyak pengaruh kepada masa kecil kita dan masa tu Ah Chong, Ramasamy dan Ali boleh berkongsi makan. Alangkah indah masa tu tiada dosa dan prasangka.

Sabran

afandi said...

sdra semua..salam
ai lama tak dengar nama tu Ali,Tong Seng,Ramasami,Kumari,Salmah

Ali,Tong Seng dan Ramasami
Berkawan Baik
Mereka Pergi sekolah bersama-sama

lepas tu kalau balik sekolah, mesti main bola sama-sama

ya cukup nostalgia, begitu pandai penulis tersebut menanamkan integrasi nasional melalui siri Buku Teks , Buku Bacaan Dewan sempat juga saya baca buku-buku Bacaan Dewan dari abang dan Kakak dulu..

Oh Tok Dam, Pakcik Kordi...tu nostalgia juga, masih ingat lagi cerita tu

Anonymous said...

assalamualaikum,
Buku yang paling berkesan bagi saya ialah sebuah buku terbitan DBP, kisah seorang yang hendak dihukum gantung. Saya tidak ingat nama penulisnya, tetapi kisahnya mengenai penyesalan dia dan saat-saat menanti untuk menjalani hukuman. Waktu baca buku itu saya masih di sekolah rendah. Saya menangis kerana kasihankan banduan itu. Sampai sekarang, setiap kali melintasi kawasan penjara lama Pudu, saya pasti teringat kisah itu.

AbnormalSuam said...

hangpa terlupa satu lagi watak dalam Bachaan Dewan tu... Zurina. Adik Ah Kau kalau tak salahlah... hehehe.. (bab ni aku memang fail)... Ah Moi...

Antara buku cerita yang selalu jadi khayalan aku adalah 'Pengembaraan Umar Katik'... aku tak ingat sapa penerbitnya... kisah lelaki katik yang selalu pakai kasut yang lebih besar dari kakinya sampaikan selalu dipijak dari belakang dan dia tersembam ke tanah. Tapi dia orang kaya... dari cerita seorang sahabat kepada si pencerita, ternyata Umar Katik ada kisahnya yang tersendiri dengan kasut besar kesayangannya... dia hanya perlu memusingkan tumitnya tigakali dan dia akan berjalan sepantas-pantasnya...

kerana terlalu bernostalgia dengan Umar Katik, aku tulis balik cerita itu dengan sedikit olahan. Dan kerana terlalu bernostalgiakan Umar Katik, dari kecik sampailah sekarang, aku sentiasa berangan-angan akan ada kasut ajaib yang hanya perlu memusing tapaknya tiga kali dan sampai ke sesuatu tempat dalam sekelip mata. Apatah lagi sekarang... dah tentu-tentu tak risau pasal harga minyak yang meningkat tinggi, setinggi hidung Pak Lah...

Unknown said...

Abu tan budak nakal
Wak karto petani tua
Pakcik kordi memakai baju kekuning kuningan. Basikal ya kemerah merahan