Monday, June 16, 2008

ORANG KITA SUKA MEMBACA...

Saya sebenarnya tak berapa selesa kalau orang kata bangsa kita ni tak suka membaca. Silap tu. Yang betul adalah sebaliknya. Orang kita sebenarnya suka membaca. Suka sangat-sangat. Dan ini bukan sesuatu yang baru. Ia diamalkan oleh nenek moyang kita, barangkali lama sebelum era Demang Lebar Daun.

Apa yang mereka baca?

Jampi, serapah, mentera. Hah, itu pun membaca juga namanya.

Apa lagi?

Hal ehwal orang. Tengok orang, perhati orang dan kemudian mula ‘membaca’ orang tu begitu, orang ni begitu. Itu juga membaca.

Sampai sekarang, amalan itu kekal terpelihara. Bab jampi, serapah, mentera, mungkin dah berkurang sedikit. Tetapi yang satu lagi, yang ‘membaca’ hal ehwal orang lain, saya rasa bukan berkurang, malah bertambah. Itu pun belum dicampur dengan tabiat suka membaca SMS.

Jadi, sekali lagi, dengan segala rendah hati, saya minta kita sama-sama betulkan persepsi masing-masing. Selepas membaca tulisan ini, tolonglah – saya ulangi, tolonglah pakat-pakat tanamkan keyakinan baru bahawa orang kita ni sebenar-benarnya sangat rajin dan sangat suka membaca.

Yang mereka tak berapa suka, cuma membaca buku...

9 comments:

afandi said...

Ya rasanya salah satu sebab org. kita kurang suka membaca buku adalah pengaruh sekitar, sejak dibesarkan dari sejak bayi hinggalah dewasa..seharusnya peringkat bayi harus diajar baca buku , secara penceritaan kpd. baby ataupun bekalkan buku bergambar.

saja nak kongsi pengalaman dari luar.
kali pertama saya menjejakkan kaki ke benua Kangaroo agak terkejut kerana sana-sini orang memegang dan membaca buku; semasa tunggu train, beratur naiki bas, dalam bas, dalam kedai dsb., bahkan baby yg masih dalam "baby cot" pun turut membaca dibekalkan buku, rasanya umur di bawah 2 tahun atau lebih telah didedahkan dengan buku. Biarpun sebenarnya baby tidak membaca tapi ianya dibantu oleh ibu-bapanya. Sambil melihat buku sambil mendengar seolah-olah membaca.

kemudahan perpustakaan juga memainkan peranan yang besar dalam memupuk minat membaca. Di negara kita sudah banyak perpustakaan desa yang didirikan di bawah konsep Desa Wawasan dsb., berbanding tahun 70an dan 80an dulu di mana kita terpaksa mengejar bas perpustakaan bergerak yang masuk ke kawasan sebulan/2 minggu sekali. Bagaimanapun spt. kata Jeanbara, masyarakat lebih suka 'membaca' hal-hal di sekeliling dari membaca buku.

AbnormalSuam said...

Budaya tidak suka membaca buku di dalam masyarakat kita, memang sudah berkarat dan sebati dengan darah daging bangsa ini... tak kiralah walaupun yang terhasil sekarang adalah daripada bangsa kacukan tetapi masih bernama Melayu. Entah jampi serapah apa yang nenek moyang mereka amalkan, sehingga sekarang, ia masih berkesan dan nampaknya semakin kuat.

Perhatikan dan fikirlah sendiri bagaimana naskhah asal Hikayat Umar Umaiyyah ditemui oleh R.O Winstedt atau barangkali juga Shellabear (kalau tak salahlah)iaitu di perdu pokok pisang rastali di belakang istana sultan sebuah negeri di utara Semenanjung. Alasan dibuang ialah hikayat berkenaan boleh menyebabkan rakyat mengakal-akalkan raja atau golongan bangsawan seperti yang dilakukan oleh watak utama hikayat berkenaan, Umar Umaiyyah.

Sehingga sekarang, masih berlaku upacara membakar buku atau menjual buku kepada pembeli kertas lusuh dengan alasan buku-buku hanya menyemakkan persekitaran ruang tamu.

Budaya yang ditanamkan ke dalam bangsa Melayu adalah dengar, lihat dan patuh... bukannya baca dan kaji... kita tidak disajikan dengan bahan-bahan bacaan sebaliknya kita dilekakan dengan ceramah.

Malah ungkapan, 'belajar dengan kitab adalah sesat' digunapakai secara meluas dan menjadi hukuman khas walaupun yang sedang mengkaji kitab itu sebenarnya telah pun belajar di atas perkara yang sama.

Maka tidak hairanlah kalau sebahagian daripada kita mempelajari asas-asas tauhid dan fiqh mereka menerusi ceramah-ceramah agama daripada kalangan mereka yang berkepentingan di atas kuasa. Disebabkan itulah, peralihan pemikiran pada sekitar 1970-an sehingga 1980-an menyaksikan betapa haru-birunya masyarakat kita dengan cerita sembahyang dua imam, kubur asing-asing, sembelihan puak ini tidak halal dan sebagainya.

Masyarakat kita lebih mudah menerima sesuatu yang boleh didengar dan didendangkan dalam bentuk hiburan. Maka disebabkan itu jugalah, ceramah agama kita juga perlu diselitkan dengan lawak jenaka dan lelucon yang ada kalanya sangat melanggar rukun ceramah itu sendiri.

Rasa cinta terhadap buku, kian hari kian berkurangan walaupun kita dilambakkan dengan buku-buku baru. Apatah lagi dengan iklim dunia buku yang semakin hari semakin menampakkan ketidakmatangan dengan novel-novelnya tidak pernah lari dari format filem Hindustan dan Tamil.

Masih mujur kerana ada kertas-kertas kerja yang dibukukan dan dijilid, namun jualannya sangatlah mendukacitakan. Kalaulah tidak kerana disokong oleh permintaan perpustakaan sekolah-sekolah atau pusat pengajian tinggi, rasa-rasanya kita hanya mampu berbangga dengan buku-buku yang bergelar novel-novel cinta. Dan masih mujur jugalah, terdapat banyak buku-buku dalam Bahasa Inggeris yang mampu memberikan kita ilmu pengetahuan biarkan pada sebaris ayat, tujuh lapan kali kita semak kamus.

Ternyata Surah Al-Alaq tidak pernah mendatangkan kesan di hati masyarakat Melayu biarpun kita mengaku, kita adalah penganut Islam, bermazhabkan Syafiee dan dari kalangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah.

afandi said...

wah Hikayat Umar Umaiyyah..macam pernah dengar. Sdr. abnormalsuam ada simpan ka?

AbnormalSuam said...

insya-Allah, kalau takdak tangan-tangan yang gatai dan rajin mengubah, ada la lagi kat rak buku dalam bilik kerja aku di rumah... Awat? Teringin nak baca ka? Tak takut kena murka dengan golongan bangsawan ka? ahaaaa....

afandi said...

yg ni ka, ni zaman mak2 kita sekolah rendah ni
------------
Hikayat Omar Umayyah / di-usahakan oleh Baharuddin bin Zainal. Chet. 1. Bunga rampai sastera lama ; 6 Siri perpustakaan sekolah DBP ; bil. 26

ada dalam library di Kota Singa

AbnormalSuam said...

haaa, betoi la tuh... yang tu la...

Canser vs B17 said...

Salam Abnormalsuam,

Maaf lambat respon, sibuk sikit semalam, maklumlah Ahad.

Berkenaan Hakikat Insan yang anda tanya tu yang ada pada saya bukan original copy, saya pun dapat yang photostat juga, dalam tulisan Rumi.

Berkenaan buku ini ada 3 jenis itu saya tak pasti, kerana buku ni saya dapat dari seorang ustaz (anak murid Tok Kenali). Sebab tak tercatit pun hak cipta terpelihara kat buku tu.

Jika masih berminat, boleh tengok dulu dan sahkan keasliannya, saya rasa saudara lebih arif dalam hal ini.

tok dam said...

membaca 'leteran' kawan2 kaki buku kita kat sini agak menakutkan bila memikirkan nasib bangsa dan ketamadunan melayu kita ni..

selama manakah lagi bangsa dan ketamadunan kita dapat berkembang dan mendominasi negara ini jika keadaan ini berterusan? telah tercatat dalam sejarah bahawa hanya bangsa yg tinggi budaya ilmunya sahaja yg bisa bertahan dan meninggalkan kesan kepada sesuatu tamadun..kemunduran dan kekenduran dalam amalan keilmuan sesuatu bangsa sentiasa akan dituruti dengan tragedi yg akan memusnahkan bangsa itu sendiri..

atau mungkinkah kita sebenarnya belum mencapai apa2 lagi dalam kamus ketamadunan bangsa2 didunia ini? atau dalam erti kata lain kita sebenarnya masih tidak bertamadun?

Anonymous said...

Pada saya orang kita ada membaca cuma bila dibandingkan dengan masyarakat negara lain kita agak terbelakang.

Orang muda kita membaca tetapi tidak sebanyak orang muda negara lain yg lebih maju dan bahan bacaan mereka lebih ilmiah. Kita memilih cuma akhir akhir ni buku tulisan asing seperti Harry Potter bukan main laku.

Orang tua kita tengok latarbelakang. Org yg baca bahan ilmiah mungkin golongan yg cinta ilmu dan mereka hanya melihat seimbas lalu akhbar dan sebaliknya bagi golongan kurang cinta ilmu banyak membaca akhbar dan bersembang dari membaca buku ilmiah.

Bagi saya yg mula membaca sebelum mendengar ceramah; asas yg ada perlu kukuh sebelum menerima bulat bulat isi ceramah. Secara tidak langsung ilmu yg ada dapat memproses bahan ceramah.

Masalahnya orang kita tidak membaca banyak dan hanya mendengar ceramah. Bila ilmu bacaan kurang dan aura penceramah yang bergaya dan apa saja yg disebutnya kita percaya bulat bulat.

Kalau kita ada ilmu dari bacaan, apa pun isi ceramah dan dari mana bahan petikannya kita boleh rujuk dan berbahas.

Bagi saya membaca dan mendengar ceramah adalah bagus untuk merangsang percambahan fikiran.