Sunday, June 29, 2008

SET MAHAL PERTAMA...

Inilah wajah buku/set buku mahal yang mula-mula sekali saya beli. Tahunnya sekitar 1982, sewaktu masih dalam proses 'praktikal' di dunia kewartawanan. Elaun waktu itu cuma RM285, tapi sebab saya suka menulis di sana-sini, duit sampingan lebih banyak daripada elaun itu. Dengan duit itulah saya membeli set ini. Harganya, kalau tak silap ingatan saya, RM330. Dibayar secara berdikit (ansoran; bukan bulanan, tetapi jenis yang 'ada duit bagi, tak ada duit duduk diam-diam').

Set ini sebenarnya agak cacat kerana salah satu jilid tiada lagi dalam simpanan; dan saya sedang berusaha memburu peminjamnya sekarang.

Tanpa menafikan, saya menimba banyak ilmu dan manfaat daripada Tafsir al-Azhar ini, perkara lain yang menarik ialah suntikan semangat yang saya perolehi selepas membaca pengantar oleh penyusunnya Buya Hamka. Kegigihannya menyusun tafsir ini banyak mempengaruhi sikap dan kesungguhan saya selepas itu. Dan itu antara sebabnya kenapa saya terus 'gila menulis' sehingga sekarang.

Saturday, June 28, 2008

DUNIA HIKMAT


Selamat pagi. Ini ada lagi satu emel yang abnormalsuam kirim untuk santapan kita semua. Macam selalu, dia juga bermurah hati mengirimkan imej, yang kali ini saiznya dah tak sebesar gunung lagi...

Ini adalah kitab Dunia Hikmat yang ditulis oleh Ali Dzulfakar yang merupakan pengarang bagi kitab-kitab seperti Seribu Hikmat, Menjadi Nujum, Garisan Azali, Ramalan Jala Tiga dan Majmu' Ayat Al Quran. Kitab ini mengandungi 256 Fasal yang antara lain termasuklah tentang lelaki, wanita, senjata, pertempuran, gerak langkah dan sebagainya. Berbeza dengan Senjata Hikmat mahupun sebuah lagi kitab karangan Tuk Janggut yang berjudul Pagar Hikmat, Dunia Hikmat tidak mengandungi jampi serapah atau mantera dalam bahasa Melayu sebaliknya kebanyakannya berbahasa Arab dan sebahagian besarnya dipetik daripada ayat al-Quran. Pun begitu, bagi mereka yang memiliki kitab ini suatu ketika dahulu, mereka telah menempuh jalan agama terlebih dahulu sekaligus berjaya mengenalpasti yang mana jalan yang benar dan yang mana jalan melencong. Bagi generasi sekarang yang sangat berminat dengan kitab-kitab seperti ini, mempelajarinya tidak salah tetapi perlulah berguru yang mursyid. Seelok-eloknya mereka yang mempelajari ilmu-ilmu hikmah ini, menempuhi dulu dunia Usuluddin dan Ushul Fiqh keranan banyak perkara yang diperkatakan di dalam kitab-kitab ini, seandainya dibaca sekali imbas boleh menyebabkan kegelinciran akidah. Pada email yang lain, aku akan cuba uploadkan kitab Senjata Hikmat karangan Tuk Janggut pulak yer...

Friday, June 27, 2008

MAN TOBA KEMBALI KE RAHMATULLAH

Jurugambar terkenal, Mantoba telah kembali ke Rahmatullah pada kira-kira pukul 5.30 petang tadi di kampungnya di Slim River, Perak. Allahyarham dipercayai diserang penyakit jantung.

Sepanjang kariernya, Allahyarham menjadi antara nama yang sangat disegani dalam bidang fotografi, khususnya sepanjang dekad 1980-an dan 1990-an. Beliau bagaimana pun kemudiannya beralih ke dunia hiburan dengan menjadi orang penting di sebuah syarikat rakaman. Allahyarham juga merupakan salah seorang penulis lirik yang prolifik.

Kepada sahabat-sahabat yang mengenali beliau, walaupun sekadar nama, marilah kita sama-sama bermohon agar roh Allahyarham dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

TAJUL MULUK YANG DIHARAMKAN

Emel berikut ini saya terima pagi-pagi buta lagi daripada abnormalsuam. Ia susulan komen Johar Faizal dalam komen dalam posting sebelum ini mengenai kitab Tajul Muluk yang diharamkan. Bacalah...


Setelah diselidik dan dikelebek, maka ditemui bahawa ada dua TAJUL MULUK yang diharamkan. Yang pertama adalah sebuah buku yang diterbitkan oleh CV.Aneka Solo yang berjudul IKHTISAR TAJUL MULUK (MAHKOTA RAJA) yang ditulis oleh ABD.HAMID ZAHWAN. Tarikh warta pengharaman buku ini adalah pada 26 April 2007.

Manakala TAJUL MULUK yang kedua menerima pengharaman pada 26 Oktober 2007 diterbitkan oleh Percetakan AlMuarif Sdn. Bhd yang ditulis oleh Tuan Husin Besut Ibn Al Marhum Tuan Ishak Fatani.

Tiada penjelasan diberikan berhubung pengharaman kedua-duanya...

Bagaimanapun dalam satu fatwa JAKIM: (dalam bentuk soal jawab)

Soalan: Adakah Kitab Tajul Muluk boleh dipelajari isi kandungannya?

Jawapan:

Kita boleh mempelajari Kitab Tajul Muluk, tetapi kita tidak boleh mempercayainya kerana ia boleh membawa kita kepada syirik kepada Allah S.W.T. Ini selaras dengan firman Allah S.W.T. dalam surah al -Maidah ayat 90 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semuanya kotor ( keji) dari perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya semoga kamu berjaya".

Oleh itu saudara hendaklah mempelajari ilmu dari guru-guru yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama dan kitab-kitab yang muktabar supaya ilmu-ilmu tersebut memberi manfaat kepada diri saudara di dunia dan di akhirat..

http://baheis.islam.gov.my/web/musykil_new.nsf/
5bf3fb7251836f9a482567f20004d104/b2e82bfaa5791a6a0025726200396a6d?OpenDocument

Thursday, June 26, 2008

KITAB TAJUL MULUK


Emel yang sama panjang dengan padang bola ini saya terima daripada abnormalsuam. Menarik kandungannya, menarik juga apa yang diketengahkan.

abnormalsuam juga menghantar dua imej gambar yang berkaitan. Tetapi saya mampu muatkan satu saja. Tak kuasa la nak download sebab saiz failnya...mak oi, kalau diibaratkan perempuan, dah tentu termasuk kategori yang kalau duit syiling jauh ke lantai, dia payah nak tunduk ambik. (Jangan marah yang adik-adik dan kakak-kakak yang menjengah ke blog ni. Bergurau aje ni).

Okay, sekarang persilakan membaca emel kawan kita ni:

Antara kitab perubatan Melayu yang paling banyak diperkatakan sama ada menerusi karya-karya klasik seperti Hikayat Melayu dan Hikayat Hang Tuah mahupun di kalangan golongan yang memburu ilmu hikmah Melayu adalah Tajuk Muluk dan Kitab Thoiyibil Ihsaani fi Thibbil Insaan (Ilmu Perubatan). Berbanding Kitab Ilmu Perubatan, Tajul Muluk adalah lebih lama dan dikatakan menjadi ilmu kitab-kitab perubatan Melayu yang lain. Kitab ini mengandungi 134 sohifah atau bab yang merangkumi segala perkara, sama ada daripada gerak pada tubuh, mendirikan rumah, membuka tanah, mimpi, perubatan lelaki, peredaran air mani wanita, mengalahkan musuh dan sebagainya. Kitab ini sebenarnya dikatakan diadaptasi daripada sebuah kitab lain yang berasal dari Parsi dan telah di'Islam'kan dengan kemasukan elemen-elemen Islam. Kitab ini ditulis (semula) pada zaman sultan Acheh yang bernama Sultan Mansur Billah Shah ibni Al-Sultan Jauhar Al-Alam Shah. Pada bahagian akhir kitab tersebut, dinyatakan bahawa kitab ini telah selesai diterjemahkan oleh Faqir Tuan Haji Wan Hassan ibn Sheikh Tuan Ishak Fatani pada hari Jumaat pada waktu Dhuha enam likur haribulan Muharram pada hijrah Nabi seribu dua ratus empat puluh sembilan di dalam negeri Makkah. Mungkin kebanyakan generasi sekarang, sukar untuk membaca kitab ini walaupun ianya banyak terjual memandangkan bahasa yang digunakan merupakan bahasa Melayu lama bercampur Arab. Malah istilah-istilah yang digunakan adakalanya mendangkalkan fikiran kita, seperti kamkuha dan sebagainya. Malahan ejaan untuk ayam pula apabila dibaca berbunyi hayam, sekaligus menunjukkan pengaruh dialek banjar di dalamnya. Satu lagi kitab perubatan yang terkenal adalah Kitab Thoiyibil Ihsaani fi Thibbil Insaan (Ilmu Perubatan). Kitab ini ditulis oleh Wan Ahmad bin Muhammad Zin bin Mustaffa Al-Fatani dan selesai penulisannya pada bulan Safar tahun 1333 Hijrah. Kitab ini lebih mudah bahasanya tetapi lebih nipis dengan 43 sohifah atau bab sahaja. Bagaimanapun, kitab ini sama seperti tajuknya, lebih banyak menjurus kepada perubatan seperti 'Pada fasal yang pertama; pada barang yang jadi penyakit daripadanya dan barang yang bergantung dengan demikian itu... Suatu ketika dahulu, barangsiapa yang berhajat sangat nak jadi doktor tradisional (bomoh la tuh), penguasaan Tajul Muluk - sama ada dibaca atau dihafal - memang perlu. Malah, dikatakan juga, sesiapa yang menyimpan kitab ini dan dijadikan rujukan, seringkali mendapat penghormatan di kalangan penduduk kampung. Sebenarnya ada lain-lain kitab perubatan yang lebih ekstrem yang bercampur aduk antara agama (ilmu hakikat) dengan perubatan, malah termasuk juga di dalamnya jampi serapah mahupun hizib dan sebagainya seperti Kitab Pati Rahsia yang dikaitkan penulisannya dengan Paduka Perdana Menteri Kelantan, Nik Mahmud dan sebagainya... Sayangnya, kitab-kitab ini semakin lenyap dan tidak lagi mendapat perhatian, mahupun kajian daripada pihak yang sepatutnya. Mungkin memandangkan ia datang dari zaman silam, bermakna ia adalah kuno dan ketinggalan. Barangkali kesilapan kita ialah memandang mudah akan kecendekiawan orang Melayu sendiri yang sudah pun menemui penawar demam malaria atau demam kura dengan penggunaan pati kulit batang pokok kuinin sebelum 'orang putih' mempatenkannya sebagai penemuan barat awal abad ke-20. Malah ketiadaan bomoh-bomoh yang benar-benar menjalankan peranan sebagai doktor tradisional yang bukan bermodalkan air liur, hembus-hembus, pembohong-pembohong dan temberang-temberang, serta asap kemenyan yang sekadar melengkapkan upacara perubatan, membuatkan kitab-kitab ini terbiar begitu sahaja. Berbeza dengan masyarakat Cina yang berjaya menaiktarafkan bidang perubatan sensei mereka untuk digandingkan dengan perubatan moden, orang Melayu bagaikan kehilangan dalam keseronokan mereka mendabik dada bahawa Melayu sudah bertamadun...

Wednesday, June 25, 2008

DAH THINK TAPI BELUM GET...


Ini antara buku jenis ni yang pertama saya baca; kira-kira 20 tahun lalu. Sampai sekarang, satu-satunya ilmu yang saya dapat ialah 'to think like a millionaire'. Bab 'get rich' tu masih tak lulus.

Tak mengapa. Saya pun memang tak pernah bercita-cita nak kaya. Saya gembira dengan kehidupan sekarang. Seadanya... Yang penting, bila handset bunyi, tak payah jeling-jeling nombor; boleh terus angkat. Yang penting, tidur malam sentiasa nyenyak...

Monday, June 23, 2008

SEKILAS KENANGAN...


Buku-buku di atas besar jasanya kepada saya. Ia merupakan sebahagian daripada 20 buah buku-buku cerita kecil dalam Siri Muhammad Rasulullah, yang saya tulis pada tahun 1986. Siri itu merupakan projek besar saya yang pertama. Dua minggu saya berkurung dalam rumah; tidak langsung ke luar ke mana-mana; malah tidak melepasi grill rumah.

Buku-buku ini juga merupakan ‘breakthrough’ fasa kedua saya dalam dunia penulisan. Siri ini serta dua siri lain kemudian dihantar untuk penilaian dalam tender bahan-bahan bacaan di bawah Skim World Bank. Sementara dua siri lain ‘kantoi’, siri Muhammad Rasulullah ini berjaya melepasi piawaiannya dan kemudian dipilih sebagai sebahagian bahan bacaan di bawah skim tersebut.

Dan sekarang, saya sedang berusaha menyusun semula siri ini dalam format baru...

Sunday, June 22, 2008

WISDOM...MURAH DAN BEST!


Kalau terjumpa majalah comel di atas, saya rekomenkan sahabat-sahabat supaya jangan bertangguh membelinya. Majalah terbitan Wisdom Publications, Mylapore, Chennai, India ini agak unik. Tebalnya cuma 64 muka. Menggunakan kertas newsprint dengan halaman-halaman spot color. Harganya hari tu cuma RM2.50.

Setiap kali turun ke Lucky Garden, Bangsar, majalah ini dulu yang saya cari. Ada terjual di kedai paling hujung blok berhadapan Restoren Akhbar Shah.

Apa istimewanya?

Selain konsep laman depannya yang sentiasa memaparkan imej kanak-kanak yang ceria, kandungan majalah ini simple dan menarik. Penyampaiannya juga mudah. Bahannya biasa-biasa, tak ada yang sensasi, tetapi tetap merupakan diages yang merangsang pengetahuan. Cuba la beli, tengok dan baca...

Saturday, June 21, 2008

PERTAMA DAN TERAKHIR


Tahunnya, 1993. Entah terpengaruh dengan siapa, tiba-tiba timbul keinginan saya nak main golf. Gila sekejap. Dah mula masuk kedai belek golf set. Mujur tak sempat beli sebab tak semena-mena ada kawan offer set yang dia dah tak guna. FOC. Saya pun ambik. Dan kerana tak tau sangat pasai sukan tu, mulalah beli buku. Dan inilah satu-satunya buku tentang golf yang saya beli.

Minat yang dipaksakan ini rupa-rupanya samalah dengan kena tangkap basah dengan nenek tua berumur 100 tahun. Susah nak pujuk hati supaya bertunas rasa kasih dan rasa sayang. Saya pun begitu. Selepas sekali turun ke driving range, saya mula rasa 'nenek ini bukan dijadikan untuk aku'. Dan itulah hari serta kali terakhir saya bermain golf. Sejak itu bolanya pun tak pernah sentuh. Set pemberian kawan itu pula kebetulan dipinjam oleh seorang kawan lain, yang merupakan bekas rakan sekerja.

Sampai sekarang saya tak pernah nampak kelibat set itu lagi...

Friday, June 20, 2008

KELAB PINJAM-MEMINJAM

Ini ada satu (sepucuk? sebuah? se apa?) emel daripada sahabat kita sang tuba. Ada beberapa cadangannya yang menarik perhatian saya, tetapi saya serahkan untuk perbincangan dan pertimbangan kita bersama:


Subject: Cadangan Untuk Kaki Buku
Saudara Tuan Empunya Blog
Pertamanya, tahniah di atas pelancaran blog menarabuku. Selepas beberapa kali melayari blog tersebut terlintas pula satu cadangan untuk kita semua fikir tentang konsep & perlaksanaannya.
Cadangan saya:
  1. Apa kata kita saling bertukar-tukar buku sesama ahli so-called kelab menara buku.
  2. Kita senaraikan buku-buku yang boleh dipinjam oleh para ahli.
  3. Kita hantar kepada alamat mereka. Lepas baca hantar kembali kepada tuan empunyanya.
  4. Kos penghantaran ditanggung oleh mereka sendiri.
Persoalannya:
  1. Sejauh mana kita dapat memastikan bahawa buku-buku yang dipinjamkan dapat dikembalikan kepada tuannya?
  2. Sejauh manakah keikhlasan mereka yang mengambil bahagian?
Tujuan saya mencadangkan perkara ini adalah kerana minat membaca buku-buku dulu baik yang ilmiah, sci-fi, hantu disebabkan kesukaran mencarinya kembali. Salah satu buku yg dicari adalah Bercakap Dengan Jin oleh Tamar Jalis.
Sekadar cadangan ajer...
Sekian, wasalam...
-SANG TUBA-

ASTERIX dan TIN TIN


Saya penggemar Asterix. Hasil tangan Goscinny (1926-77) dan Uderzo (1927 - ) itu memang memukau. Setakat ini koleksi Asterix saya lengkap dan sempurna. Empat di atas adalah sebahagian daripadanya.

Bagaimanapun selepas kematian Goscinny yang menjadi penulisnya, Axterix agak hilang 'umpph' daripada segi penceritaan. Beberapa cerita yang ditulis dan dilukis sendiri oleh Uderzo ternyata banyak hambarnya.

Satu lagi komik/kartun yang saya suka ialah The Adventures of Tin Tin, karya Herge (1907-83). Koleksi Tin Tin saya juga setakat ini masih lengkap dan elok. Nak pinjam boleh la..

Thursday, June 19, 2008

NAK MAKAN DURIAN, BELI DUSUN...


Saya nak berbohong sikit.

Tahukah sahabat-sahabat yang saya sebenarnya dah baca habis kesemua buku di sebelah ni? Jumlah muka suratnya 3,413 halaman. Semua habis. Satu baris pun tak tinggal.

He3x...

Kadang-kadang membeli buku ni boleh diibaratkan macam orang yang makan durian, tapi dia terus beli dusun. Kita juga begitu. Ada masanya, yang nak dicari dan nak dirujuk cuma satu dua benda, akhirnya satu buku yang kita beli.

Buku-buku di sebelah ini adalah sebahagian daripada koleksi buku-buku yang ada 'kena-mengena' dengan komputer dan program-programnya. Sebahagiannya dibeli kerana sebab-sebab yang disebut di atas, beli dusun untuk makan durian. Sedar tak sedar dah bertimbun. Sedar tak sedar ada yang dah tak berapa relevan sebab pantasnya pergerakan dunia perkomputeran ini...

NAIK HARGA LAGI!

Harga buku akan naik lagi. Mesti naik. Gerenti. Kertas dah tentu naik. Kos operasi kilang cetak dan produksi penerbitan akan naik sebab tarif eletrik naik. Kos pengangkutan akan naik. Campur tolak, kita boleh menjangkakan bahawa harga buku akan turut melompat antara 20-30 peratus. Itu pun dah kira jangkaan konservatif.

Dalam keadaan buku sederhana mahal pun orang tak berapa nak beli, apatah lagi apabila ia menjadi mahal. Kena pula yang di sekeliling; dari beras sampai ke teh tarik semuanya dah turut jadi mahal. Kalau perut terpaksa dijerut, apatah lagi yang lain-lain.

Apa yang berlaku ini secara langsung menjadi kekangan terhadap budaya membaca orang kita. Sekaligus, ia juga mengekang perkembangan industri buku, yang selamanya memang 'hidup macam bagus, mati macam tak nak'....

Wednesday, June 18, 2008

JALAN MALAM KE IBU KOTA


'Dan makanan yang ku makan seperti juga sarapan pagiku di Kuala Lumpur. Roti untuk dijadikan pelengkap utama, dibuat dari gandum yang bukan tumbuh di Malaya. Susu dan gula untuk melengkapi nikmatnya kopi bukan hasil kebangsaan Malaya. Kursi meja dari kayu jati, dulu tumbuh di Siam, atau barangkali di Burma, yang didatangkan ke Malaya atas nama perusahaan kayu Inggeris.'

Itu ayat yang saya petik daripada Jalan Malam Ke Ibu Kota, karya SN ArenaWati. Buku ini pun saya kutip daripada kotak rumah kawan. Penerbitnya ialah Pustaka Chahaya, 42 Jalan Sultan, Brunei, no telefon 697. Ia berharga $3 dan tebalnya pula 208 muka surat.

Pada pengantar Jalan Malam Ke Ibu Kota ini, ArenaWati mencatatkan tarikhnya 25 Mei, 1960, bersamaan 29 Zulkaedah 1379, petang Hari Rabu. Ternyata usia buku ini tua daripada saya.

BIASA TENGOK YANG INI?


Siapa pernah tengok majalah ini?
Suatu masa dahulu, ia pernah menjadi antara majalah yang popular. Kalau tak seiring pun, pasti berada di belakang Dian dan Mastika. Ia pernah muncul, kalau tak silap saya, dalam dua format. Mula-mula yang kecil ini, kemudian yang besar macam URTV. Majalah ini mula menghilang dari pasaran menjelang pertengahan 1970-an.
Naskah di atas merupakan edisi 1966, bilangan 8. Penerbitannya ketika itu dua bulan sekali dan dijual dengan harga $1.00 dengan ketebalan 152 muka surat.
Majalah ini diterbitkan oleh penerbit yang sama dengan majalah Dian iaitu Penerbitan Dian, Kota Bharu, Kelantan.
No telefonnya? 565 sahaja!

Tuesday, June 17, 2008

BUAH TANGAN ABNORMALSUAM


Ini ada buah tangan yang diemelkan oleh abnormalsuam. Saya perturunkan juga emelnya sekali. Pakat-pakatlah baca, mudah-mudahan kita sama-sama mendapat sedikit sebanyak manfaat daripadanya:

Ini adalah Kitab Risalah Kafiyatul Mubtadi yang aku maksudkan. Kitab ini aku gunakan masa aku belajar kat balai panjang (masjid) untuk kelas Quran Tajwid yang dikendalikan oleh Majlis Agama Islam Kedah pada tahun 1977-1980 dulu. Aku masih simpan kitab ini dan sering berada dalam beg galas aku.

Ini kitab asas sebelum beralih ke kitab Mutawwasit dalam mempelajari bab Usuluddin dan Usul-Al-Fiqh. Terdapat 171 perkara dalam kitab kecil ini termasuklah bab solat (rukun, syarat, bab membinasakan dan sebagainya), bab sunat ab'ash, bab sunat hai'ah, bab korban, bab akikah, bab jenazah, bab bersuci dan sebagainya. Bahagian terakhir kitab ini menceritakan secara ringkas tentang peristiwa Nabi s.a.w dilahirkan, anak-anak Nabi s.a.w, isteri-isteri Nabi s.a.w dan isteri-isteri Nabi s.a.w ketika baginda hendak wafat.

Di dalam kitab ini juga diceritakan secara ringkas bab Tauhid, rukun Syahadat, makna iman, serta soal jawab ringkas tentang 'Percaya Kepada Allah Taala'...

Kitab ini pernah hinggap ke kepala aku bila aku menjawab salam dengan kata lafaz, 'Waalaikum salam.' Dan ustaz yang mengajar aku (rahmat Allah atas dirinya), terus paksa aku buka mukasurat 140 dan hafazkan salam yang kamal, menjawab salam yang sedikit kamal, salam yang terlebih akmal, dan menjawab salam yang terlebih akmal...

hehehehehehe... sekarang? Aku pun dah lupa melainkan menjawabnya seperti sebelum kepala aku dihentak dengan kitab kecil ini...

SEDIKIT PASAL HANTU...

Bila belek-belek buku yang dok ada dalam simpanan ni, saya terperasan satu perkara; saya tak banyak simpan buku-buku misteri, terutama yang berkaitan dengan hantu. Nak banyak macam mana sebab jarang beli. Ingat, jarang beli, bukan tak pernah beli.

Kalau ada pun kebanyakannya buku penyiasatan kanak-kanak yang berunsur misteri macam buku-buku Nancy Drew. Selain itu cuma buku-buku tentang Segitiga Bermuda, Piramid, Aztec dan benda-benda yang macam tu. Kalau thriller dan sci-fi memang banyak. Yang satu tu, kalau tak salah saya abnormalsuam yang punya.

Terus terang, walaupun saya suka pada benda-benda yang bersifat misteri dan mistik, tetapi ia bukanlah hal hantu hisap darah, hantu tunggu huma, hantu cabut kepala dan sebagainya. Itu antara sebab kenapa ada karya-karya saya tentang hantu dalam GG, merapu semacam. Saya memang melihat hantu sebagai 'benda' lawak dan layak dibuli, sekurang-kurangnya dalam cerita saya.

Saya tak nafikan makhluk-makhluk halus itu ada, tetapi saya tak nampak sebab kenapa mereka perlu dipedulikan sangat. Saya tak kata saya berani, namun jarang la pula merasa takut. Saya lebih bimbang dengan manusia berbanding dengan 'makhluk tak jejak tanah' tu.

Sahabat-sahabat pula bagaimana?

WARISAN YANG NAK HILANG...


Maaflah kalau blog ni dah jadi macam galeri buku/majalah lama dah. Bukan apa, saya rasa macam sayang kalau tak highlightkan benda-benda lama ni. Takut perlahan-lahan pupus dan luput tanpa dipedulikan.

Di sini saya paparkan satu lagi naskah lama. Ini bukan komik walaupun sekali pandang, memang nampak macam komik. Ia sebenarnya sebuah buku yang memuatkan skrip drama yang mengisahkan riwayat Sayyidina Abu Bakar As-siddiq.

Buku ini setebal 60 muka surat, bertulisan jawi dan diterbitkan oleh 'Usaha Penerbitan Menara' Kuala Lumpur. Penulisnya, Abu Zaki Haji Mohd Fadzil. Pencetaknya pula, Craftman Printers, No. 16, Jalan Penchala, Petaling Jaya. Harga yang tercatat ialah $1.00 senaskah.

Saya percaya kita tak mungkin lagi berpeluang untuk melihat buku seperti ini, maksud saya buku-buku cerita bertulisan jawi, muncul di pasaran buku-buku popular. Ada tak ada ia hanya terbit untuk budak-budak sekolah. Itu pun mungkin kerana terpaksa...

PENGARUH BAHAN BACAAN

Sejauh mana apa yang dibaca mempengaruhi sahabat-sahabat semua? Boleh kita kongsi-kongsi pengalaman dan perasaannya?

Saya masih ingat, waktu budak-budak saya acapkali teringin hendak berpakaian kemas macam Ali, Tong Seng dan Ramasamy -watak-watak dalam Buku Bacaan Dewan (kalau tak salah) yang menjadi teks di sekolah rendah ketika itu. Seronok rasanya menjadi mereka. Berbaju kemas, dan sentiasa berkasut yang lengkap dengan sarung kakinya. Naik pokok pun pakai kasut!

Dan saya budak kampung, yang sana-sini di kepung oleh sawah dan kebun getah. Jalan masuk ke kampung ketika itu hanya 'berturap' tanah asli, belum pun ada tanah merah, apa lagi mini tar macam sekarang. Kalau hujan, becaknya melekat dan melekit. Kalau kemarau, debunya mengejar angin.

Ketika itu, kebanyakan budak-budak kampung berkaki ayam. Kasut hanya dipakai untuk ke sekolah. Saya bernasib baik kerana merasa juga berselipar. Tetapi selalunya selipar itu bukan dipakai sangat. Dipegang; lebih-lebih lagi kalau musim hujan.

Jadi bayangkan macam manalah saya berkasut dan bersarung kaki sepanjang masa; termasuk untuk naik pokok? Selain daripada kasut sekolah, saya hanya berpeluang merasa kasut baru ketika Aidilfitri. Dan selepas raya, kasut itu biasanya disimpan elok-elok; sampai rosak atau ketat dengan sendirinya!

Satu lagi; semasa darjah tiga atau empat, saya pernah mencuri pelita ayan arwah nenek (tok) dan menggosok-gosoknya dengan satu harapan; akan keluar jin Aladin! Pengaruhnya datang daripada buku 'Pengemis dan Putera Raja', kisah seorang budak (Ali, kalau tak silap) di kota Baghdad yang mencari-cari keajaiban Aladdin. Kerana dia menggosok lampu untuk 'mencari' jin itu kalau-kalau ada, saya pun melakukannya juga.

Mujurlah tak ada, kalau tidak jangan harap saya akan ber'blog' macam sekarang...

Monday, June 16, 2008

CRY FREEDOM


Ini sebuah lagi buku yang saya suka. Naskah yang diadaptasi daripada lakon layar filem yang menggunakan judul yang sama.

Menarik benar mengikuti pengamatan penulisnya, John Briley, melalui watak Donald Woods, editor anti-apartheid yang meninggalkan negaranya bersama cerita perjuangan Steve Biko. Lebih menarik lagi bila dapat 'melihat' dari dekat semangat juang Biko, anak muda kulit hitam yang mati dalam tahanan polis itu.

Satu pandangan Biko yang kuat melekap di fikiran saya sejak mula membaca buku ini pada tahun 1987 sehingga sekarang ialah apabila dia membuat kesimpulan yang lebih kurangnya begini, jika dunia ini dijajah dan dikuasai oleh orang kulit hitam, sudah pasti setiap yang hitam itu akan dikagumi.

ORANG KITA SUKA MEMBACA...

Saya sebenarnya tak berapa selesa kalau orang kata bangsa kita ni tak suka membaca. Silap tu. Yang betul adalah sebaliknya. Orang kita sebenarnya suka membaca. Suka sangat-sangat. Dan ini bukan sesuatu yang baru. Ia diamalkan oleh nenek moyang kita, barangkali lama sebelum era Demang Lebar Daun.

Apa yang mereka baca?

Jampi, serapah, mentera. Hah, itu pun membaca juga namanya.

Apa lagi?

Hal ehwal orang. Tengok orang, perhati orang dan kemudian mula ‘membaca’ orang tu begitu, orang ni begitu. Itu juga membaca.

Sampai sekarang, amalan itu kekal terpelihara. Bab jampi, serapah, mentera, mungkin dah berkurang sedikit. Tetapi yang satu lagi, yang ‘membaca’ hal ehwal orang lain, saya rasa bukan berkurang, malah bertambah. Itu pun belum dicampur dengan tabiat suka membaca SMS.

Jadi, sekali lagi, dengan segala rendah hati, saya minta kita sama-sama betulkan persepsi masing-masing. Selepas membaca tulisan ini, tolonglah – saya ulangi, tolonglah pakat-pakat tanamkan keyakinan baru bahawa orang kita ni sebenar-benarnya sangat rajin dan sangat suka membaca.

Yang mereka tak berapa suka, cuma membaca buku...

Sunday, June 15, 2008

KERJA GILA?


Sejak budak-budak saya selalu berasa pelik dengan perangai kaki burung. Sering kelibat mereka kelihatan di sebalik semak samun di belakang rumah. Terhendap-hendap di bawah pokok keriang. Terbongkok-bongkok di tepi pokok cenderai. Kadang-kadang berselubung kepala dengan pelikat lusuh bagi berlindung dari terik matahari.

Saya tak nampak langsung apa perlunya mereka bersusah payah begitu.

Sekarang ini, kalau ada kaki burung yang melihat buku-buku dalam simpanan saya, mereka mungkin mempunyai anggapan yang sama terhadap saya. Atau barangkali juga lebih teruk lagi.

Mereka mungkin tidak akan faham. Samalah sebagaimana saya tidak memahami mereka suatu ketika dahulu.

Di atas, gambar salah sebuah buku kategori rosak teruk yang saya simpan. Ia saya pungut dari kotak yang hendak dibuang di rumah seorang kawan. Buku Malaya In World History yang ditulis oleh Joginder Singh Jessy ini diterbitkan pada tahun 1961 oleh Peninsular Publications, 36, Penang Street, Penang dengan kelulusan Kementerian Pelajaran.

Kalau dikategorikan sebagai pesakit, buku ini menghidap kencing manis, darah tinggi, paru-paru berlubang, untut, kudis buta, kurap dan serba-serbi seumpamanya. Sukar untuk dirawat lagi. Begitu pun saya masih ingin terus menyimpannya...

...UNTUK JAAFAR TAIB


Saya ingin mendedikasikan posting kali ini kepada sahabat saya, Jaafar Taib. Lukisan hiasan muka depan majalah Saripati ini (keluaran April 1977) merupakan sentuhan beliau. Waktu itu Gila-Gila belum ada dan Jaafar belum begitu dikenali.

Saya tidak tahu berapa Jaafar dibayar untuk lukisan laman depan ini. Tetapi jangkaan saya, ia tidak melebihi seratus ringgit. Itu dulu. Sekarang, sukar untuk melihat lukisannya yang berharga di bawah RM30,000.

Saripati ini antara 'diages' Melayu yang popular suatu masa dulu. Penerbitnya Abu Bakar Ninggal, masih aktif dalam bidang penerbitan. Saya tak tahu Saripati masih terbit atau tidak, yang saya tahu majalah ini pernah tenggelam timbul beberapa kali. Dan itu juga realiti dunia penerbitan di Malaysia. Penerbit jarang kaya raya. Yang jarang tak kaya cuma pencetak dan pengedar...

DI MANA NAK RAWAT BUKU LAMA?

Ini ada satu soalan daripada seorang sahabat, yang jawapannya saya kira elok kita kongsi bersama. Sahabat itu bertanya, di mana tempat yang sesuai untuk merawat buku-buku lama. Berapa pula kosnya? Dan saya rasa, orang yang layak menjawab soalan ini cuma abnormalsuam. Dia rajin buat kerja tu...

YANG INI PUN SAYA SUKA...


Buku yang dihasilkan oleh Cleo Odzer, seorang ahli antropologi Amerika Syarikat ini merupakan antara buku yang saya suka. Saya tidak pernah mengenali Patpong, selain melalui berita/rencana mengenainya. Tetapi membaca buku ini menyebabkan saya mendapat gambaran yang cukup jelas mengenai 'neraka yang disangka syurga' itu.

Odzer menghabiskan masa tiga tahun mengkaji dan mendalami kehidupan wanita-wanita di Patpong. Dia malah mengikut mereka balik ke kampung halaman untuk mengenali latar kehidupan wanita-wanita tersebut. Cara penulisannya juga mudah, menarik dan mengandungi elemen penceritaan yang baik.

Ada sedikit catatannya yang menarik, apabila dia membandingkan kemakmuran Malaysia (ketika itu - sekitar penghujung 1980-an) dengan kedhaifan di seberang sempadan.

Maklumat buku:
Penulis: Cleo Odzer
Penerbit: Arcade Publishing & Blue Moon Books, New York
Tahun penerbitan: 1994
Kandungan: 312 ms (termasuk bibliografi)
Harga: RM37.90 (1995...sekarang tak tau la)

DIAN



Komen Sdr Azmi Ahmad di bawah posting saya 'Sarapan Tengah Malam' ada menyebut tentang majalah Dian. Ya, majalah itu menjadi diages popular pada zaman saya budak-budak dulu. Saya ada menyimpan beberapa naskah Dian, yang dibeli secara pukal dari seseorang. Saya pilih satu (bil:36, 1970) dan saya paparkan cover dan back covernya untuk tatapan, terutama adik-adik kita yang tak berkesempatan melihat majalah yang diterbitkan oleh Syarikat Dian Sdn Bhd, Kota Bharu, Kelantan itu.

SARAPAN TENGAH MALAM


Sebelum nak keluar dari gelanggang, saya dengan murah hatinya uploadkan gambar majalah Mastika keluaran September 1968. Masa tu kandungan Mastika tak ada la cerita hantu-hantu macam sekarang ni.
Yang menjadi Pengarang Mastika era itu ialah Harun Hassan (Allahyarham - kemudiannya pengasas Amir Enterprise yang menerbitkan Mingguan Wanita dan Keluarga). Antara judul-judul kandungan majalah edisi khas setebal 100 halaman dan berharga $1.00 ini ialah:

Rasuah: Usaha-usaha BPR Untuk Menghapuskannya di Malaysia (Kadir Ahmad) Makanan Semakin Kurang (Ilias Zaidi) Jatuh Bangun Orang-orang Melayu Sejak Merdeka (A. Rahman Rahim) Gerakan Kerjasama di Malaysia (Ali Shariff) Dawud Beureu-Eh Akan Bangun Pimpin Acheh Untuk Berontak? (Subky Hj Latiff) Mengapa Orang Selalu 'Frust (Amir Hamzah Shamsuddin)

Saturday, June 14, 2008

BUKU APA YANG SAYA BACA?


Saya bukanlah penggemar novel. Banyak kawan rakan tak berapa percaya dengan kenyataan ini. Tetapi itulah hakikatnya. Novel terakhir yang saya baca ialah Hujan Pagi, karya SN Datuk A. Samad Said. Itu pun lama dahulu.

Tetapi jangan tersilap. Itu sekarang. Pada masa yang lain, lama dahulu, saya pernah menggilai novel macam orang lain. Saya habiskan Biru Warna karya Awang Had Salleh semasa masih di sekolah rendah. Dalam darjah tiga atau empat. Menyusul selepas itu ialah Interlok karya Abdullah Hussein (dan itu yang menjadi punca 'pengikat' saya pada tulisan-tulisan Pak Lah).
Sukar dinafikan bahawa minat kita berubah mengikut zaman. Saya bermula semasa berumur sekitar enam tahun, dengan komik, dan majalah hiburan (Saya tak ingat judulnya, tetapi di dalamnya ada lirik lagu 'Salam Mesra' nyanyi A. Halim. Itulah lirik pertama yang saya hafal. Lagu itu juga selalu saya nyanyikan di depan kelas bila disuruh oleh guru).

Tanpa meninggalkan komik dan majalah hiburan, saya bergerak pada buku-buku cerita. Paling berkesan dalam diri saya sampai sekarang ialah buku 'Aku Di Sebuah Pulau' terbitan DBP (cetakan pertama 1957 dan diulang cetak pada 1963, 1965, 1971 dan 1973). Ia sebenarnya merupakan antolongi cerita pendek untuk kanak-kanak. 'Aku Di Sebuah Pulau' adalah tajuk salah sebuah daripada ceritanya dan ia ditulis oleh Md Sariff Fakeh.

Kali pertama membacanya, saya pinjam daripada perpustakaan. Waktu itu masih di sekolah rendah. Judul buku itu mengekori saya selama bertahun-tahun dan kira-kira 20 tahun lalu, saya berjaya membeli 'semula' edisi kedua naskah itu (cetakan 1985).

Ego budak-budak mendorong saya mendekati novel pada usia yang masih sangat muda. Bukan apa, asalnya nak tunjuk eksyen pada kawan-kawan yang kita mampu baca buku tebal-tebal. Ia kemudian berjangkit dan meleret menjadi ketagih.

Mungkin pendedahan yang terlalu awal itulah menyebabkan minat terhadap novel juga menjadi cepat pudar. Saya perlahan-lahan beralih pada bacaan-bacaan yang lebih serius, dan saya kira ini proses biasa yang dilalui oleh kebanyakan orang.

Sekarang ini saya tak tahu buku apa yang paling saya minati. Seperti kata abnormalsuam dalam blognya, saya juga membaca segala jenis buku. Tetapi yang sering menyebabkan saya jarang tidur malam ialah buku-buku yang ada unsur keagamaan, sejarah, politik dan budaya.
Satu lagi, saya juga banyak membaca buku-buku 'self improvement'. Punya banyak membacanya sehingga tak ada masa nak improvekan diri sendiri...

SEBUAH PERJALANAN


Ini sebuah lagi buku yang saya sayang - Sebuah Perjalanan - hasil sentuhan SN Dato' Abdullah Hussein. Buku yang sarat dengan catatan pengalaman ini amat menguja saya. Saya suka stail penceritaannya, mood yang dibangkitkannya dan nilai yang cuba diketengahkan secara halus.

Buku ini saya beli pada 17 Mac 1986 (kalau datang rajinnya - atau biasanya semasa membeli cuma sebuah dua, saya suka juga mencatatkan tarikh), dan kalau tak silap dengan duit advance untuk memulakan projek penulisan Siri Muhammad Rasulullah.

Sebuah Perjalanan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1985, setebal 547 muka surat dan dijual dengan harga RM16.00. Bayangkan berapa agaknya harga buku setebal itu sekarang ini, apatah pula dengan ukurannya 8" X 5.5".

Keadaan buku ini agak 'teruk' bukan kerana terbiar, tetapi kerana terlalu kerap diusung. Sejak lebih 20 tahun lalu, saya masih terus membacanya, walaupun secara selak-selak. Maksud saya, hanya baca di bahagian-bahagian tertentu. Biasanya ini dilakukan apabila merindui mood kehidupan di kampung pada masa lalu.

Untuk sahabat saya Afandi; mungkinkah buku ini yang saudara maksudkan?

ANTARA KESAYANGAN SAYA...




Ini antara buku kesayangan saya. Tak ingat beli di mana, tapi rasa-rasanya di MPH, Bangsar pada tahun 1990. Diterbitkan oleh Corgy Book, Great Britain pada 1989 (edisi kedua - cetakan pertama pada 1971 dalam bahasa Serbo-Croatian). Setebal 478 muka surat dengan harga RM21.90. Murah kalau dinilai dengan kandungannya yang merupakan kisah benar penderitaan yang dilalui seorang tahanan yang terpenjara selama kira-kira 20 tahun di gurun sejuk Siberia. Buku ini diterjemahkan dalam banyak bahasa dan diterbitkan di banyak tempat di seluruh dunia.

ANTARA BUKU LAMA SAYA...


Terpampang di atas itu dua daripada buku lama yang ada dalam koleksi saya. Buku Peristiwa Sultan Hamid II diberikan kepada saya oleh seorang sahabat. Ia diterbitkan oleh Penerbit Djakarta pada tahun 1955, ketika ayah saya masih bersekolah. Cop kedai pada buku itu menunjukkan ia dibeli di Pustaka Antara, 531, Batu Road, Kuala Lumpur. Tebalnya 240 muka surat dan harga yang tertulis (dengan pensil) ialah $3.75.

Wartawan Dalam Seribu Suasana pula saya beli di sebuah kedai buku lama. Harganya dah tak ingat. Tetapi harga asal buku itu ialah $2.50. Tebalnya 220 muka, dengan dua halaman berlipat (folded) yang mengandungi pengarangnya (Ghazali Ismail) bersama Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj dan kumpulan pengarang dan wartawan lain. Buku ini diterbitkan oleh Penerbitan Gronloh, 41, Princes Road, Kuala Lumpur pada bulan Julai 1962.

Dua buku ini sebenarnya hanyalah sebahagian kecil yang terdapat dalam simpanan saya. Masih ada banyak lagi, dan ada juga yang jauh lebih 'tua'.

Catatan: saya tahu Batu Road itu Jalan Tuanku Abdul Rahman sekarang, tetapi saya masih tercari-cari di mana Princes Road.

SALAM PEMBUKA GELANGGANG

Assalamualaikum dan selamat sejahtera,

Saya wujudkan blog ini dengan satu sebab; nak mendedikasikannya untuk saya sendiri dan untuk sahabat-sahabat yang berminat dengan buku. Tak kiralah minat membeli, meminjam atau membacanya. Yang berminat menjual buku pun tak apa. Janji ada kena-mengena dengan buku - dikecualikan buku hutang.

Saya tak mau mengklaskan diri saya sebagai hantu atau ulat buku. Mungkin belum sampai tahap tu. Tetapi sejak kecil, memang ke situlah minat saya. Kalau tak silap, 'buku' pertama saya ialah komik karya Allahyarham Saidin Yahaya, yang dibelikan oleh ayah (semoga Allah mencucuri rahmah ke atasnya) semasa umur saya sekitar enam tahun.

Saya banyak berhabis untuk buku. Waktu senang-senang dulu, bajetnya kadang-kadang melepasi seribu RM sebulan. Setelah ada anak, setelah tanggungjawab bertambah - dan setelah harga buku pun semakin mahal, bajet itu turut berkurang. Perlahan-lahan. Begitu pun ia masih tetap agak besar. Hanya tahun-tahun kebelakangan ini, apabila capaian internet menjadi bertambah baik, bajet itu saya kurangkan dengan ketara. Satu kesan buruk untuk industri penerbitan (Insya Allah, saya akan sentuh mengenai perkara ini pada masa-masa akan datang).

Minat saya tidak hanya menghala pada buku-buku baru. Banyak juga buku-buku lama yang saya kumpul. Dahulu, di Leboh Ampang ada sebuah kedai menjual buku 2nd hand, 3rd hand dan entah berapa hand. Di situlah saya selalu mencari apa yang saya cari. Satu lagi cara, meninjau-ninjau garage sale pada hari Minggu.

Saya percaya ramai lagi kawan rakan di luar sana yang mempunyai minat yang sama. Dengan merekalah saya ingin berkongsi; pengalaman, pandangan dan apa sahaja yang berkaitan dengan minat yang satu ini. Semoga, sedikit sebanyak ia dapat memberikan sesuatu kepada kita; sesuatu yang barangkali hanya difahami oleh kita sesama kita.

Hingga berjumpa lagi...